Melalui laporan Kosmo, tiga pembantu pengajar sebuah madrasah di Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen pada hari ini atas 14 pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki di pusat jagaan itu sejak 2022 hingga 2023.
Tiga tertuduh lakukan amang seksual
Tiga tertuduh yang bernama Muhammad Habib Noh Mohd. Zairi, 21, Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20 dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, bagaimanapun tidak mengaku atas tuduhan tersebut selepas pertuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Difahamkan dalam pertuduhan yang dibuat, Muhammad Habib didakwa atas lima pertuduhan iaitu merangsang mangsa secara seksual dan melakukan amang seksual terhadap mangsa.
Mangsa berumur 9 hingga 11 tahun
Untuk Muhammad Khunnais pula, dia didakwa atas empat pertuduhan, manakala Ahmad Nadzful didakwa atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal kepada mangsa.
Dalam pada itu, perbuatan amang seksual itu dilakukan terhadap lima mangsa kanak-kanak berusia dari umur sembilan hingga 11 tahun dan tiga daripada mereka mempunyai pertalian adik-beradik di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada tahun 2022 hingga 2023.