Ratu dari negara India, Harnaaz Kaur Sandhu yang baru sahaja berusia 21 tahun telah diangkat sebagai pemenang Miss Universe untuk edisi ke 2021 yang mana telah memasuki tahun ke-70 pengajurannya sepanjang ia dipertandingkan di pentas dunia.
Harnaaz dilaporkan telah menewaskan 79 peserta dari negara lain dan turut mencipta sejarah apabila dia memenangi mahkota itu setelah kali terakhir dirangkul oleh Lara Dutta, 21 tahun yang lalu.
Model dan pelakon berketurunan Punjabi itu telah bersaing dengan wakil Paraguay dan Afrika Selatan di peringkat tiga teratas dan dimahkotakan oleh pemenang Miss Universe 2020, Andrea Meza dari Mexico.
Dihoskan oleh personaliti TV Hollywood, Steve Harvey, Harnaaz telah tampil cemerlang dan berjaya meyakinkan barisan juri dengan jawapan mantap apabila dia diajukan soalan wajib.
Meskipun hanya sempat menyiapkan diri selama dua bulan sebelum pertandingan berprestij itu berlangsung, kemenangan Harnaaz ternyata telah membanggakan seluruh rakyat India pada ketika ini.