Walaupun meluahkan rasa kecewa jenama Naelofar Hijab diciplak, Neelofa mengakui ia tidak mendatangkan kerugian kepada pihaknya. Namun, beliau terkilan kerana pengguna memperolehi produk yang tidak mempunyai kualiti yang baik.
Tiada istilah kerugian sebab setakat setahun lebih beroperasi permintaan pengeluaran meningkat dari masa ke semasa, termasuklah raya ini pun pengeluaran kami berbeza daripada tahun lepas. Mereka yang terkesan, lebih kepada pengguna dan mereka yang menjual.
Neelofa juga memberitahu setiap tudung keluaran Naelofar Hijab dijual dengan harga mampu milik dan berpatutan. Apa yang di kesal olehnya ialah pengguna tertipu dengan harga mahal daripada mereka yang meniru tudungnya.
Harga yang kami tetapkan memang berpatutan tidak melebihi RM100. Mereka menjual barangan tiruan ini kebanyakannya meletakkan harga yang sama atau lebih kurang sama. Mungkin beza tidak kurang RM10.
Di sini mangsanya pengguna sebab permintaaan dan pengeluaran kami tidak pernah putus. Apa yang kami kesal, pengguna tertipu dengan harga mahal.
Semalam Neelofa telah mengadakan sidang media sempena rampasan pertama produk Naelofar Hijab palsu ketika dalam serbuan di Gombak dan Kajang pada 28 Mac lalu. Nilai rampasan tersebut dianggarkan lebih RM7,000.