Sehubungan dengan kontroversi pernikahan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang melanda dunia hiburan baru-baru ini, banyak pihak yang tertanya-tanya apakah hukum nikah 2 kali seperti yang telah dilakukan oleh pasangan ini. Ada yang berkata boleh dan dibenarkan, namun ada yang menyatakan ia tidak boleh dilakukan.
Menariknya terdapat percanggahan pendapat daripada 2 ahli agama terkenal Malaysia iaitu Ustaz Azhar Idrus dan Datuk Noh Gadut yang merupakan penasihat agama Johor. Di dalam satu video ceramahnya, Ustaz Azhar Idrus menyatakan tiada masalah untuk bernikah 2 kali asalkan segala syarat sah nikah diikuti. Ikuti videonya di bawah:-
Perlu diingatkan apabila sudah bernikah tanpa mengikut undang-undang negara misalnya bernikah di luar negara, pasangan terbabit perlu melakukan ‘isbat nikah’ iaitu mensabitkan pernikahan mereka dengan pihak berkuasa di negara kita.
Mereka perlu mengemukakan semua saksi termasuk wali dan bukti mengatakan mereka sudah bernikah tahun lalu (seperti dilaporkan media) di pejabat agama. Ia bertujuan memastikan pernikahan itu dilakukan mengikut hukum syarak dan jika tiada masalah, pernikahan mereka boleh disahkan tanpa perlu bernikah sekali lagi.
Bagaimanapun dalam hal ini, tindakan mereka bernikah kali kedua itu boleh menimbulkan pandangan seolah-olah tidak mengiktiraf pernikahan yang pertama. Kita tidak tahu sejauh mana perkahwinan pertama (tanpa mengikut undang-undang negara) itu sah mengikut hukum syarak.
Jika sah, Alhamdulillah, tapi jika sebaliknya, hubungan yang dijalinkan selama ini boleh dianggap zina, manakala anak yang dikandung atau dilahirkan boleh dikategorikan sebagai anak luar nikah. Dalam hal ini, mereka hanya perlu melakukan sedemikian, sekiranya mahkamah memutuskan pernikahan pertama mereka itu tidak sah
Malah menurut penceramah bebas Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani, perkahwinan sembunyi-sembunyi yang dilakukan oleh pasangan ini adalah tidak beradab dan tidak berakhlak lebih-lebih lagi memikirkan status mereka sebagai selebriti. Kata Ustaz Ahmad Dasuki:-
Walaupun sah dari segi agama, perkahwinan ‘sembunyi-sembunyi’ mereka itu tetap dianggap tidak beradab dan berakhlak. Ini kerana dalam Islam sendiri perkahwinan itu bertujuan menghebahkan kepada masyarakat akan status hubungan suami isteri antara seorang lelaki dan wanita.
Ia bertujuan mengelak timbulnya sangka buruk dan pandangan serong orang ramai seperti yang berlaku kepada mereka (Aeril dan Wawa). Apatah lagi melibatkan golongan selebriti yang dikenali ramai, pasangan ini sepatutnya memberi contoh baik kerana setiap tindakan mereka boleh menjadi ikutan peminat.
Bukanlah bermakna setiap pasangan yang berkahwin perlu membuat majlis atau kenduri besar-besaran, cukup sekadar memaklumkan perkahwinan mereka kepada umum. Dalam hal ini (perkahwinan), paling penting, kita menjaga Allah dan hukumnya, bukannya orang termasuk majikan sehingga kita sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya
Semoga dengan penjelasan ini, maka akan terjawablah segala persoalan di minda pembaca BeautifulNara semua. Apa pun, kontroversi ini seharusnya dijadikan pengajaran buat kita semua terutamanya jika anda bergelar seorang selebriti. Apa pun marilah kita doakan agar kehidupan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal sekeluarga lebih tenang selepas tamatnya kontroversi ini.