Dipukul serta ditumbuk bertubi-tubi sehingga mendatangkan kecederaan hanya kerana tidak dapat menjiwai watak dalam lakonannya, Ika Nabella akui beliau sudah merasa serik untuk bekerjasama dengan pengarah terkenal, Azma Aizal Yusoof.
Ikutkan kami sudah dua kali bekerjasama sebelum ini. Ketika itu tak ada sebarang masalah. Malah, pembabitan saya menerusi drama ini adalah atas permintaannya. Tak sangka lain pula yang jadi. Memang terkejut dibuatnya. Buat masa sekarang, saya belum sedia berjumpa atau bekerjasama dengannya. Akan datang, tak tahu lagi macam mana.
Malah, Ika juga sudah nekad untuk menarik diri daripada berlakon didalam drama Dawai Asmara meskipun pihak produksi cuba untuk memujuk beliau mempertimbangkan keputusan berkenaan.
Namun pihak produksi akur dengan permintaan aktres itu yang sudah trauma selepas apa yang terjadi kepadanya.
Selepas membuat laporan polis tempoh hari, saya sudah menyatakan hasrat menarik diri, tetapi pihak penerbit meminta saya mempertimbangkan keputusan itu. Namun, selepas berfikir banyak kali saya tetap dengan pendirian. Mereka juga tak menghalang. Bagi saya, ini adalah jalan terbaik tambahan pula saya masih trauma dengan kejadian itu.
Tambah Ika, pihak polis sudah mendapat keputusan selepas melakukan beberapa siasatan secara terperinci. Walaubagaimanapun, Ika buat masa ini enggan mendedahkan ia dengan lebih lanjut dan menyerahkan segala hal kepada pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, Ika juga nafi cuba untuk mencari publisiti murahan dan menyalahkan Azma sedangkan masalah itu berpunca daripada beliau. Jelas Ika, tindakan beliau yang membuat laporan polis kerana ingin mempertahankan dirinya dan menjadi pengajaran kepada orang lain agar perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.
Mungkin cara Ika yang tidak boleh membawakan watak yang diberikan dengan baik menimbulkan rasa tidak puas hati pengarah tetapi ia tidak bermakna Azma boleh melakukan sesuka hati dan memukul pelakon kerana ingin mendapatkan apa yang beliau mahu. Keganasan bukan jalan penyelesaiannya.