Zulfarhan Osman Ditemui Berbalut Dengan ‘Bandage’ Hampir Di Keseluruhan Badan

Trending

Zulfarhan Osman Ditemui Berbalut Dengan ‘Bandage’ Hampir Di Keseluruhan Badan

Di hari pertama perbicaraan pembunuhan Zulfarhan Osman Zulkarnain, mahkamah diberitahu bahawa pegawai kadet itu ditemui tidak sedarkan diri, memakai kain pelikat dan dibalut dengan pembalut di hampir keseluruhan badannya.

Saksi pendakwaan Mohd Fadzli Sham Shafii, 36, seorang penolong pegawai perubatan pusat koordinasi perubatan kecemasan Hospital Serdang berkata, dia terus membuat pemeriksaan kecemasan setelah melihat pemuda itu dalam keadaan tersebut.

Keseluruhan artikel dengan membaca entri ini sepenuhnya.

Advertisement

Fadzli berkata, Zulfarhan tidak bernafas dan tiada denyutan nadi, anak matanya tidak bergerak dan saiz anak matanya juga besar dari biasa. Dia kemudiannya memaklumkan hasil pemeriksaan kepada pusat koordinasi dan menerima arahan untuk membawa mangsa ke hospital serta merta.

Mohd Fadzli memberitahu, dua tertuduh dalam pembunuhan itu turut berada di situ dan telah menemani mangsa yang tidak sedarkan diri untuk mendapatkan rawatan perubatan di Hospital Serdang. Fadzli berkata, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, tertuduh pertama, dan Muhammad Azamuddin Mad Sofi, menawarkan diri untuk menemani mangsa dalam ambulans.

Menceritakan lebih lanjut, Mohd Fadzli berkata, dia awalnya telah bertemu dengan kedua-dua tertuduh sebaik tiba di Apartment De Centrum di Bandar Baru Bangi setelah menerima panggilan mengenai pemuda yang ditemui tidak sedarkan diri di salah sebuah unit apartment di situ.

Dalam pemeriksaan balas yang dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Awam Othman Abdullah di Mahkamah Tinggi, Mohd Fadzli berkata:

Pada 1 Jun 2017, semasa shif saya iaitu pada 2.00 petang hingga 9.00 malam, pusat koordinasi menerima panggilan kecemasan pada 8.28 malam mengenai pemuda yang dijumpai tidak sedarkan diri di apartment itu.

Pemandu ambulans Nurul Hisham dan saya bergegas ke tempat kejadian dan sampai pada 8.40 malam. Ada seorang pemuda, yang tidak saya ketahui identitinya, menanti kami di lobi dan membawa kami ke unit apartment itu di Blok B.

Menjawab soalan Othman, saksi itu berkata di samping lelaki yang menunggu di lobi, ada dua orang lagi pemuda dalam apartment itu yang kemudiannya menemani mangsa dalam ambulans.

Ketika ditanya bagaimana Mohd Fadzli mengenali nama mereka, saksi itu memberitahu yang dia mengingati nama mereka setelah dua tertuduh mendaftar nama di buku pendaftaran hospital sebaik saja mangsa dibawa ke unit kecemasan dan diserahkan pada Dr Muhd Faiq Nabil untuk rawatan lanjut.

Ditanya sama ada dia dapat mengecam dua tertuduh itu di mahkamah semalam, Mohd Fadzli menunjuk ke arah Muhammad Akmal memberitahu:

Ya, Akmal yang berada paling kanan.

Tentang Azamuddin, saya tak berapa cam dia kerana dia memakai topi (pada hari kejadian).

Saksi pendakwaan yang kelima, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idrus, 54, seorang pemandu teksi, tidak dapat menahan air  mata apabila diminta mengenal pasti anak sulungnya itu melalui gambar post-mortem.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya Awam Nurakmal Farhan Aziz sama ada gambar tersebut ialah Zulfarhan, dia berkata ya. Ibu Zulfarhan juga dilihat menangis.

Sebelum itu, Zulkarnain yang tinggal di Skudai, Johor Bahru memberitahu mahkamah yang pada 11.45 malam, 1 Jun 2017,  dia menerima panggilan dari  Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), memberitahu yang anaknya telah meninggal dunia dan jenazahnya berada di Hospital Serdang, Selangor.

Dia berkata, dia begegas untuk ke hospital itu serta merta dan tiba pada 3.30 pagi, namun hanya dibenarkan untuk melihat dan mengenal pasti mayat anaknya pada 9.00 pagi 2 jun.

Dia menambah, Zulfarhan ialah anak pertama dari empat adik-beradik dan merupakan pelajar tahun kedua jurusan kejuruteraan elektrikal di UPNM. Kali terkahir dia bertemu Zulfarhan ialah pada April 2017 apabila anaknya pulang ke rumah selama tiga hari.

Nurakmal Farhan bertanya jika Zulfarhan pernah mengadu mengenai sebarang masalah yang dihadapinya di UPNM, Zulkarnain berkata Zulfarhan tidak pernah bercerita mengenai masalahnya.

Ditanya sama ada anaknya itu memiliki komputer riba, Zulkarnain berkata Zulfarhan mempunyai komputer ribanya sendiri tetapi dia tidak pasti sudah berapa lama komputer riba itu dimiliki anaknya.

Perbicaraan yang dihakimi oleh Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung pada 28 Februari. Enam pelajar UPNM,  Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali dituduh secara bersama membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan Zulfarhan di bilik 04-10, blok Asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi 22 Mei tahun lepas.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersekali dengan Seksyen 34 Kanun yang sama. Jika disabitkan kesalahan, kesemua tertuduh berdepan dengan hukuman mati. – amazingnara.com

Sumber: Free Malaysia Today

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...