Mengakui segala yang berlaku adalah realiti berdasarkan pengalamannya sendiri, Zul Yahya tampil memperjelaskan apa yang disuarakan di media sosial baru-baru ini bukan untuk menghina.
Menurut laporan Harian Metro, Zul dikhabarkan langsung tidak mempersoal halal haram rezeki insan lain namun seakan menyeru pihak terbabit untuk mencari yang lebih baik dan keberkatan dalam industri hiburan.
Zul juga menambah, luahannya itu supaya pihak atasan dan bekaitan dalam industri hiburan mampu melakukan perubahan membentuk hala tuju yang lebih baik.
Tambahnya, setiap orang mempunyai pendapat dan pandangan masing-masing malah turut menyatakan segala yang dikongsikan bertujuan mengubah industri hiburan ke arah yang lebih memberangsangkan.
Zul bagaimanapun turut mengulas soal keberkatan yang diperkatan. Menurutnya, keberkatan itu sangat luas malah memerlukan usaha kerana “berkat” itu tidak akan datang dengan sendiri.
“Kita semua perlukan hiburan, tapi biarlah ia pergi kepada hala tuju lebih baik dan memberi manfaat kepada masyarakat serta penggiat seni antaranya pekerja belakang tabir untuk mendapat kehidupan selesa.”
Ujarnya, pilihan berada pada tangan masing-masing kerana yakin rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT amat luas namun segalanya tetap menuntut pengorbanan.
Zul akui beliau bersara kerana sudah penat berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia, malah turut berkata industri ini seolah sukar untuk membuat simpanan.
Terdahulu kecoh di media sosial apabila Zul difahamkan menyeru para penggiat seni khususnya pekerja di belakang tabir untuk meninggalkan kerjaya tersebut kerana menyifatkan kerja berkenaan tidak diberkati oleh Allah SWT.
Sumber: Harian Metro