Hari ini wartawan Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus melalui mStar Online telah menafikan dakwaan yang dia dipaksa oleh Zubir untuk memberi kenyataan membidas Neelofa. Zubir mendakwa mempunyai bukti rakaman temu ramah bersama Anzalna berhubung krisis pelakon itu dengan aktres Neelofa dan ia tidak dilakukan secara paksaan.
Artikel tersebut diterbitkan dengan persetujuan bersama. Saya tidak memaksa Anzalna meluahkan perasaan berhubung krisisnya dengan Neelofa. Saya hanya memujuk dan dia sendiri bersetuju kenyataan itu akan diterbitkan.
Bagi saya tidak timbul isu kerana saya mempunyai bukti dalam bentuk rakaman mengenai kenyataan Anzalna dalam temu ramah kami.
Pihak mStar menghubungi Zubir untuk mendapatkan ulasannya tentang kenyataan Anzalna kepada blog RotiKaya yang pelakon itu tidak menyangka kenyataannya kepada Zubir akan diterbitkan kerana ia sepatutnya off-record.
Disebabkan kenyataan Anzalna yang berbaur fitnah, Neelofa telah mengeluarkan notis tuntutan bukti dalam masa tujuh hari sebelum tindakan undang-undang yang selanjutnya dikenakan. Menurut Neelofa juga, sekiranya bukti tidak dikemukakan dia tidak akan meneruskan tindakan saman sekiranya Anzalna membuat permohonan maaf secara terbuka.
Zubir turut berpendapat yang Anzalna tidak mahu bertanggungjawab terhadap artikel itu tetapi beliau tidak marah kerana percaya tindakan aktres itu ialah akibat fikiran dan emosi yang bercelaru kerana tekanan akibat insiden berkenaan.
Baca entri ini selanjutnya untuk mengikuti soal jawab mStar Online dengan Zubir berhubung kes itu.
Anzalna mendakwa dia melarang anda menerbitkan luahan peribadinya tetapi anda tetap menyiarkan artikel itu pada Ahad lalu. Kenapa?
Tidak timbul isu… saya tetap menerbitkan artikel itu kerana ia mendapat persetujuan bersama.
Saya sudah mengingatkan dia luahan mengenai Neelofa boleh menyebabkan dia didakwa sebagai fitnah namun Anzalna bertegas kononnya dia mempunyai bukti terhadap kenyataan yang dikeluarkan.
Sebagai wartawan, saya hanya melaporkan apa yang diluahkan Anzalna. Mengenai dakwaan saya memaksa dia untuk mendapatkan kenyataan itu adalah tidak tepat kerana saya hanya memujuk dan dia bersetuju untuk meluahkan perkara itu.
2) Tidakkah dakwaan yang ditimbulkan Anzalna akan menjejaskan kredibiliti dan integriti anda sebagai wartawan?
Ini bukan kali pertama saya berdepan dengan dakwaan artis kononnya saya tidak melaporkan fakta secara beretika. Dalam apa juga kontroversi artis yang berlaku, artis memang mudah alpa dengan apa yang mereka luahkan kepada wartawan. Apabila kes menjadi kronik, mereka menyalahkan wartawan pula.
Artis seperti Anzalna masih baru dan mungkin disebabkan oleh tekanan dihadapinya dia terlepas cakap kepada blog tersebut dan menuduh saya memaksa dia mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Ia adalah proses pembelajaran untuk artis baru seperti Anzalna agar lebih berhati-hati dalam kenyataan yang dikeluarkan. Hakikatnya, hubungan saya dan dia tiada masalah kerana kami baru saja berhubung menerusi telefon.
Dakwaan itu tidak menjejaskan reputasi dan tidak menjadi kudis pun. Saya menjunjung etika kewartawanan dan sama sekali tidak melanggarnya. Semua perbualan bersama dirakamkan sebagai bukti.
3) Adakah anda bimbang jika kepercayaan artis terhadap anda terhakis gara-gara kes ini?
Tiada apa yang perlu saya bimbangkan kerana saya melaporkan cerita mengikut fakta dan bukan ditokok-tambah. Selama ini segala sumber dan kandungan cerita yang disampaikan adalah sahih dan mempunyai bukti, bukan direka-reka untuk menjadikan ia sensasi.
Perbalahan di antara artis adalah perkara lumrah dalam dunia hiburan. Saya berharap isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Semoga Anzalna dan Neelofa dapat berbincang dengan baik dan profesional di luar dan tidak perlu dibawa sampai ke mahkamah.
4) Apa komen anda mengenai ‘kemunculan’ aktor dan penerbit Hans Isaac dalam krisis itu sehingga bertindak untuk mengajak anda berdebat mengenai etika kewartawanan?
Saya berasa pelik dengan tindakan Hans yang mengajak saya berdebat susulan krisis antara Neelofa dan Anzalna.
Walhal, saya hanya wartawan yang melaporkan perkara, bukan orang berkepentingan atau ahli politik. Saya hairan kenapa dia harus campur tangan sedangkan dia tiada kena-mengena dalam kes itu.
Hans berkata sebagai penerbit dia mahu mempertahankan hak aktres yang bekerja di bawah produksinya padahal Neelofa sudah bekerja dengan banyak produksi lain sebelum ini.
Penerbit dan pengarah Aziz M. Osman untuk filem Azura 2012, KRU untuk King Kapchai dan beberapa lagi tetapi tidak pernah tampil membela Neelofa dalam kes-kes kontroversi sebelum ini jadi mengapa pula dia harus bertindak sehingga mahu mengajak saya berdebat pula?
Saya hormati pandangan Hans berkenaan isu ini dalam laman Twitter miliknya. Dia ada persepsi sendiri untuk menangani kes tersebut tetapi saya mahu jelaskan saya tidak layak untuk berdebat dengan artis berpengalaman sepertinya untuk kes seperti ini.