Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, pengunjung Zoo Negara semakin berkurang dan hal itu berpotensi untuk menjejaskan hidupan haiwan yang berada di dalam Zoo Negara kerana hidupan didalamnya bergantung kepada jumlah pengunjung yang datang ke Zoo Negara.
Memetik laporan Harian Metro, Zoo Negara kini dalam perancangan untuk memperkenal konsep zoo maya. Menurut Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana, konsep sedemikian bersesuaian dengan keadaan negara sekarang yang masih dilanda pandemik Covid-19.
Pencinta haiwan boleh melihat hidupan di dalam Zoo Negara melalui konsep ini di seluruh dunia. Melalui platform ini juga, Zoo Negara dapat menjana pendapatan baharu dan terus beroperasi dengan hasil kutipan bayaran dan bukan bergantung sepenuhnya kepada pengunjung seperti sebelum ini.
Tambahnya ketika dihubungi Harian Metro, beberapa syarikat bakal mengemukakan kertas kerja untuk dinilai dari segi kos dan sebagainya untuk memperkenal konsep ini.
Dengan adanya konsep zoo maya ini, orang ramai boleh melihat spesis haiwan tanpa perlu datang ke Zoo Negara.