Melalui laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan di Mahkamah Sesyen bahawa isterinya, Datin Seri Zizie Izette aktif berniaga sejak tahun 2010, namun perniagaan itu dihentikan ketika penularan Covid-19.
Bung Moktar yang bakal menyambut ulang tahun ke-66 pada 15 September ini berkata demikian ketika prosiding bela diri hari kedua atas tiga kes rasuah yang dihadapinya, manakala kes bersubahat membabitkan Zizie Izette, 47, turut dibicarakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Untung tidak cerita, rugi pun dia tak beritahu..”
Dalam sesi soal jawab bersama Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Bung Moktar mengakui bahawa Zizie pernah terbabit dengan pelbagai pelaburan, namun beliau tidak pernah tahu butiran lanjut.
Pendakwaan: Setujukah dengan cadangan saya bahawa Datin Seri Zizie Izette akan berkongsi jika pelaburan itu untung mahu pun rugi?
Bung Moktar: Untung tidak cerita, rugi pun dia tak beritahu.
Bung Moktar turut mengesahkan bahawa isterinya seorang yang kurang bercerita dan tidak banyak berbincang mengenai kewangan.
Bertegas tak tahu punca pendapatan isteri
Ketika ditanya sama ada beliau sengaja tidak tahu mengenai harta dan pendapatan Zizie, Bung Moktar menjawab ringkas.
Bukan konon, saya sememangnya tidak tahu apa-apa.
Selain itu, beliau juga disoal mengenai wang pengenalan sebanyak RM2.8 juta daripada dua ejen pelaburan Public Mutual yang diterima oleh Zizie dan Bung Moktar menegaskan bahawa beliau hanya mengetahui perkara tersebut selepas dipanggil memberi keterangan kepada SPRM.