Hari ini, pelakon Zizie Ezette dan suaminya Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes rasuah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra).
Menghadapi tiga pertuduhan berkaitan kes rasuah tersebut, Zizie bagaimanapun nafi bersubahat dan mengaku tidak bersalah memperoleh rasuah RM2.8 juta selepas semua pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Zizie didakwa telah bersubahat memperoleh rasuah dengan Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad daripada dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad. Wang yang diberikan oleh dua ejen itu dimasukkan ke dalam akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) di bawah nama Zizie.
Difahamkan, rasuah itu adalah upah kepada Bung Moktar yang mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.
Zizie dan Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.