Penyanyi Zizi Kirana dan suaminya, Yusuf Bahrin dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, pagi ini bagi mengikuti satu prosiding yang dipercayai berkaitan rumah tangga mereka.
Yusuf atau nama sebenar Muhammad Yusuf Bahrin, 34, tiba lebih awal sekitar jam 8.40 pagi dengan berpakaian serba hitam. Ketika ditemui media, beliau tidak mengulas lanjut mengenai tujuan kehadirannya, sebaliknya hanya memohon doa daripada orang ramai.
“Insya-Allah semua okay. Doakan yang baik-baik… Saya okay. Selamat Hari Raya,” katanya.
Tidak lama kemudian, Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil, 41, turut hadir sekitar jam 8.45 pagi dengan mengenakan jubah hitam. Beliau ditemani pelakon Umie Aida.
Zizi bagaimanapun enggan berkongsi lanjut mengenai prosiding tersebut dan memaklumkan beliau sendiri tidak pasti mengenai perjalanan kes pada hari ini.

“Tiada apa-apa saya hendak kongsi. Saya pun tidak tahu mengenai proses hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Umie Aida yang hadir sebagai sokongan turut berharap segala urusan pasangan berkenaan dipermudahkan.
“Doakan yang baik-baik. Semoga semuanya dipermudahkan buat kedua-dua belah pihak,” ujarnya.
Terdahulu, pasangan ini menjadi perhatian apabila dilihat menyambut Hari Raya secara berasingan. Perkara itu mula mencetuskan spekulasi selepas kedua-duanya memuat naik foto sambutan 1 Syawal di media sosial tanpa kehadiran pasangan masing-masing.
Yusuf dilihat meraikan Aidilfitri bersama keluarga dalam suasana yang disifatkan tenang, manakala Zizi pula berkongsi foto bersendirian. Perkongsian tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat, memandangkan mereka sebelum ini sering dilihat bersama dalam pelbagai acara dan hantaran media sosial.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
