Mengakui merasa tenang ketika berada pada malam 10 terakhir Ramadhan di Mekah yang dilaluinya tahun lalu, pelawak Zizan Razak mahu merasai pengalaman yang sama juga pada tahun ini. Difahamkan Zizan bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi melakukan ibadah umrah pada 14 Jun ini. Ia juga merupakan satu peluang yang baik untuk Zizan berehat.
Semenjak pertama kali ke Mekah saya sudah tiada perasaan untuk ke tempat lain kerana di sanalah tempat paling baik untuk bercuti.
Selain meningkatkan ketakwaan dan keimanan dalam setiap ibadat dilakukan saya juga sentiasa berasa amat tenang apabila berada di Mekah dan akan gunakan setiap peluang beribadah dengan sebaik-baiknya.
Zizan berkata beliau mahu menggunakan peluang umrah kali ini untuk lebih mengenali dirinya dan memperbaiki setiap kelemahan beliau untuk menjadi seorang insan yang lebih baik di masa hadapan.
Selain sentiasa berasa tenang di Mekah, semua jemaah adalah setaraf sehingga kita tak kenal siapa kaya atau miskin.
Ia tempat yang baik untuk bercuti dan sekiranya mampu… pergilah! Ia banyak mengajar kita mengenal diri sendiri, tak fikir benda lain selain amalan dan bagaimana hendak lalui padang Mahsyar (apabila meninggal dunia) nanti.
Semoga perjalanan dan ibadah umrah Zizan nanti berjalan dengan lancar. Harapnya Zizan dapat mencari ketenangan untuk membersihkan jiwa dan diri serta menjadi seorang insan yang lebih baik kelak.