Selepas beberapa bulan menghadapi kemelut rumah tangga, akhirnya penyanyi Ziana Zain dan suaminya, Armin Zaharin sah bercerai talak satu hari ini.
Armin melafazkan cerai pada jam 2.48 petang tadi di hadapan Hakim Syarie Mohd. Nizar Mohtar. Ziana ketika ditemui pihak media berkata, beliau bersyukur segala proses perceraian berjalan dengan lancar dan mudah. Meskipun sudah lama menanggung derita di dalam hati, Ziana bagaimanapun tidak pernah menyimpan dendam tehadap bekas suaminya itu.
Saya bukan pendendam. Saya dah lama maafkan dia. Saya tak pandai nak simpan dendam. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan lancar dan mudah. Saya sentiasa berdoa kepada Allah supaya diberikan ketenangan jiwa selepas ini. Saya juga berdoa supaya dipermudahkan segala urusan saya serta pihak di sebelah sana.
Ziana dan Armin sudah berkahwin selama 20 tahun dan dikurniakan empat orang cahaya mata. Penceraian kedua-dua mereka mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Terdahulu, Armin memohon untuk berjumpa dengan empat orang anaknya sebelum melafazkan cerai tersebut.