Bakat kepimpinan dan ketokohan Zed Zaidi tidak lagi boleh dipertikaikan apabila memegang kembali jawatan Presiden SENIMAN dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-14 yang berlangsung di Dataran Karyawan FINAS, Kompleks Studio Merdeka, Sabtu lalu. Zed mendapat 109 undi dan telah menewaskan dua calon lain iaitu seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang meraih 71 undi dan Afdlin Shauki (66).
SENIMAN sebelum ini telah terlibat dengan beberapa kontroversi yang melibatkan mahkamah. Namun kali ini dengan kehadiran 1,000 ahli, mesyuarat AGM telah berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit ketegangan berlaku. Jawatan Timbalan Presiden dipegang oleh Zack Kool, pelakon Zahrin Ishak dipilih sebagai Setiausaha Kehormat, penolongnya disandang oleh Rena Tan manakala Vanidah Imran menyandang jawatan Bendahari. Jawatan juruaudit pula dipegang oleh Dira Abu Zahar dan Adlin Aman Ramli.
Tahniah diucapkan kepada semua yang terpilih terutamanya kepada Zed Zaidi. Semoga dengan barisan kepimpinan yang baru ini, persatuan SENIMAN akan lebih maju di masa hadapan dan nasib para artis tanah air lebih terbela. Selamat menjalankan tugas.