Sejak beberapa hari ini isu wabak Coronavirus menjadi topik perbualan yang paling hangat dalam kalangan warga Malaysia. Terdapat beberapa berita palsu yang sengaja ditularkan, membuatkan lebih ramai orang panik. Sebab itu, pihak kerajaan sudah memberikan peringatan kepada orang awam untuk jangan sebarkan sebarang maklumat palsu mengenai wabak berkenaan sehingga bokeh mencetuskan huru-hara.
Bagaimanapun, bukan semua orang peka atau “pandai” membezakan yang mana satu berita sahih atau sebaliknya. Baru-baru ini, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi dikecam teruk selepas mengongsikan berita palsu berkaitan Coronavirus.
Menerusi akaun Twitternya, Zed memuat naik paparan berita mengatakan semua negara telah menghalang kemasukan rakyat negara China kecuali Malaysia.
Malangnya, foto yang dikongsikan oleh Zed itu sememangnya palsu dan “berita” tersebut boleh direka oleh sesiapa sahaja melalui laman breakyourownnews.com, dengan memasukkan teks dan imej didalam ‘template’ yang disediakan.
Rata-rata netizen menggesa pihak SKMM dan PDRM untuk mengambil tindakan ke atas Zed kerana telah menyebarkan berita palsu. Ini boleh mencetuskan salah faham dan membuatkan keadaan menjadi huru-hara.
Ada segelintir netizen menyifatkan tindakannya menyebar berita yang tidak sahih itu sebagai ‘bodoh’.
Meskipun dikecam teruk, Zed nampaknya masih tetap dengan “pendiriannya” dan masih belum memadam ‘tweet’ tersebut.
Semak dahulu fakta sebelum hendak sebarkan berita. Kena lebih berhati-hati apabila membaca maklumat yang tersebar media sosial kerana bukan semuanya betul.