Bukan senang untuk Abang Nara berkongsi perkembangan artis antarabangsa. Memang rare. Namun berita pengunduran Zayn Malik daripada kumpulan One Direction ini tidak boleh diendahkan. Selepas 5 tahun bangkit dan jatuh bersama 4 lagi ahli lain, Zayn Malik mengumumkan yang dia kini tidak lagi bersama One Direction. Pengunduran Zayn Malik ini telah menyebabkan ribuan peminatnya sedih tahap tertinggi. Malah ada yang dilihat menangis ketika membaca berita tersebut.
Baru-baru ini kelibat Zayn Malik berpegangan tangan dengan seorang wanita berambut perang di sebuah kelab malam di Phuket, Thailand telah menyebabkan para peminatnya marah. Ini kerana Zayn Malik telah pun bertunang dan tindakannya itu dianggap mencurangi tunangannya. Kemungkinan besar kontroversi ini menguatkan lagi hasrat Zayn Malik untuk berhenti daripada kumpulan One Direction. Tulis Zayn Malik:-
Selepas lima tahun, saya rasa seperti kini masa yang sesuai bagi saya untuk meninggalkan band ini. Saya ingin memohon maaf kepada peminat jika saya membuat anda semua sedih tetapi saya perlu lakukan perkara mengikut kata hati saya.Saya berundur kerana mahu menjalani kehidupan normal, mempunyai masa berehat dan masa peribadi tanpa menjadi perhatian umum.
Kalau selebriti di Malaysia yang peminatnya tidaklah sampai jutaan orang pun boleh tertekan dengan kontroversi yang melanda, inikan pula Zayn Malik yang mempunyai jutaan peminat seluruh dunia. Walaupun berita ini pasti mengecewakan hati gadis-gadis di luar sana, anggaplah Zayn Malik hanya ingin menjalani kehidupan normal seperti rakyat marhaen yang lain. Cukuplah 5 tahun hidup dalam penuh tekanan. Kini tiba masa untuk hidup dengan tenang dan aman. Tak gitu?