Sekarang ini ramai artis yang menjual produk kosmetik dan kesihatan. Sesetengah produk sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia tetapi yang menjadi masalah dan bahaya kepada pengguna adalah produk yang tidak mendapat sebarang kelulusan serta berpotensi mengandungi bahan kimia beracun.
Terbaru, pelakon drama popular Zarina Zainuddin didenda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini, atas enam pertuduhan memiliki dan menjual alat kosmetik tidak bernotifikasi, Januari lalu.
Majistret, M Bharat menjatuhkan hukuman tersebut selepas Zarina mengaku bersalah ke atas enam pertuduhan terhadapnya yang kebanyakannya membabitkan kosmetik tidak berdaftar tanpa notifikasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi pertuduhan pertama, Zarina sebagai pengarah Syarikat Addura Marketing Sdn Bhd didakwa menjual satu set kosmetik mengandungi sekotak Addura Black Soap, satu bekas Addura Day Cream (tujuh gram), satu bekas Addura Night Cream (7 mililiter).
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki tiga set sama. Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, Zarina didakwa atas pertuduhan memiliki kosmetik yang tidak bernotifikasi masing-masing 68 kotak Addura Black Soap, 279 bekas Addura Day Cream, 89 bekas Addura Day Cream (tujuh gram) dan 205 bekas Addura Day Cream (10 mililiter).
Zarina didakwa mengikut Seksyen 18A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 18A (15) peraturan yang sama. Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi kesalahan pertama atau maksimum RM100,000 bagi kesalahan kedua.
Pelakon wanita itu yang tidak diwakili peguam membuat rayuan agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya. Difahamkan Zarina pernah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang sama pada tahun 2008.