Mahkamah Sesyen mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) yang melarang kedua-dua pihak, iaitu plaintif Norfaralinah Md Yunus (Fara Mendoza) dan defendan Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes saman fitnah yang difailkan oleh Fara Mendoza terhadap Zarina Anjoulie.
Memetik laporan Sinar Harian, perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Norina Zainol Abidin selepas perbicaraan kes bermula, di mana dua saksi, termasuk Fara Mendoza yang berusia 37 tahun, dipanggil untuk memberi keterangan.
Proses perbicaraan, yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4.30 petang, dijalankan secara tertutup.
Harap kes cepat selesai
Sebelum itu, Zarina Anjoulie atau lebih dikenali sebagai Anju, 38, yang ditemui di luar mahkamah, menyatakan harapannya agar kes yang telah berlarutan selama empat tahun ini dapat diselesaikan dengan segera.
Dah empat tahun kes ini dan kita pun nak ia berakhir, kita tengok macam mana dan berdoa yang terbaik.
Difahamkan, perbincangan kes tersebut dijadualkan bersambung pada 24 Julai dan 4 Ogos depan.
Buat tuntutan balas
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Anju berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban.
Tindakan itu diambil susulan dakwaan bahawa Anju tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka bahawa peguam yang sebelum ini dilantik telah menguruskan perkara tersebut. Difahamkan, peguam tersebut telah diserang angin ahmar dan firma guamannya telah ditutup.
Susulan itu, Anju telah memfailkan tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza.
Anju menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta, termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, serta meminta perintah injunksi untuk menghalang Fara Mendoza daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah pada masa hadapan.
Selain itu, Anju turut menuntut agar Fara Mendoza menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Anju juga menuntut kos tindakan serta sebarang relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.