Prosiding inkues kematian tragik Zara Qairina Mahathir yang berlangsung pada Rabu membuka satu lagi sisi memilukan apabila seorang saksi kanak-kanak tampil menceritakan semula apa yang berlaku pada malam 15 Julai 2025, iaitu malam sebelum arwah ditemui tidak sedarkan diri di bangunan asrama sekolah agama di Papar.
Saksi kanak-kanak dedah Zara dikepung, disoal siasat
Menurut peguam keluarga Zara, Rizwandean M. Borhan, insiden bermula apabila seorang pelajar kehilangan dompet dan mula mengesyaki Zara sebagai pencuri.
Difahamkan, Zara telah dibawa ke sebuah ‘dorm’ lain dan dikepung untuk disoal siasat, namun arwah menafikan dirinya mengambil dompet berkenaan.
Dia kata tidak menyentuh dompet, tidak ambil, dan pelajar yang menyoal meminta Zara bersumpah. Zara kemudian bersumpah ‘Wallahi saya tidak ada sentuh, saya tidak ambil dompet ini’.
Dituduh pula curi pin bendera, ambil surat ‘kertas privasi Zara’
Tambah Rizwandean, pelajar yang buat aduan kemudian percaya dengan sumpah Zara dan meminta maaf, namun segalanya tidak berakhir di situ.
Saksi dedah seorang lagi pelajar tiba-tiba masuk dan menuduh Zara mencuri pin bendera miliknya, di mana pelajar itu kemudian keluar, lalu datang semula dengan dua rakannya serta beberapa pelajar lain, menjadikan suasana lebih tegang.
Seorang pelajar marah kepadanya dan beberapa perkataan kesat telah digunakan. Pada masa itu arwah Zara menangis. Menurut saksi kanak-kanak hari ini, dia nampak Zara menangis. Beberapa pelajar ketawa melihat arwah.
Lebih menyedihkan, seorang pelajar kemudian mengambil sepucuk surat yang disifatkan saksi sebagai “kertas privasi Zara”.
Tiada sentuhan fizikal
Zara yang sememangnya sedang menangis, makin tertekan apabila surat tersebut dijadikan bahan ejekan, kata saksi.
Kami ada tanya sama ada dia (saksi) buat sesuatu ketika itu, dia kata dia pun takut kerana Zara menangis. Dia turut menggunakan perkataan ‘Zara ditahan, dikepung’.
Apabila ditanya tentang kandungan surat tersebut, saksi memberitahu ia berkaitan dengan hasrat Zara Qairina untuk menjadi Badar atau pengawas surau di sekolah.
Menurut saksi, tiada sentuhan fizikal berlaku, namun suasana soal siasat, tuduhan, ejekan dan tekanan malam itu cukup memberi kesan kepada arwah.