Kecoh di media sosial baru-baru ini mengenai satu podcast yang diterbitkan oleh syarikat animasi terkenal yang telah menimbulkan banyak reaksi negatif daripada netizen.
Dalam podcast tersebut, beberapa pekerja ‘upper management’ dilihat sedang berbincang mengenai isu ‘drama di lokasi penggambaran dan syarikat’.
Namun apa yang menjadi kritikan warga maya adalah apabila panel-panel dalam podcast tersebut dirakam mengutuk dan mendedahkan aib pekerja dan bekas pekerja mereka sebelum ini.
Antaranya mengenai sikap bekas pekerja yang dikatakan masih ingin ‘mempunyai kaitan’ dengan syarikat tersebut selain sikap-sikap pekerja yang dikatakan menyusahkan dan mempunyai banyak ‘muslihat’.
Selain itu, panel yang memegang tugas sebagai ‘Human Resources Department’ secara terang-terangan memaklumkan bahawa mereka ada mengintip media sosial staff mereka sendiri dan sebagainya.
Menjengah ke ruangan komen podcast yang kemudiannya dimuat naik di YouTube rasmi syarikat animasi itu, netizen banyak mengecam dan menganggap mereka hanya membuka pekung tentang betapa toksiknya syarikat tersebut kepada orang awam.
Di Facebook, pengasas syarikat animasi itu, Haji Burhan Radzi ada memberikan respon mengenai isu tersebut dan menganggap ia hanyalah satu tuduhan tidak berasas dan berbaur dengki serta iri hati di atas kejayaan mereka sebagai satu pasukan.