Baru-baru ini, sebuah rakaman video memperlihatkan seorang pelajar lelaki menjadi mangsa buli di sebuah sekolah asrama telah tular di media sosial dan menjadi topik hangat perbualan ramai orang.
Aksi kekerasan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen dan orang ramai yang turut terkesan dengan kelakuan tidak bermoral tersebut.
Ini termasuklah penyanyi Zaki Yamani, yang tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan berpendapat bahawa sebarang perselisihan faham haruslah diselesaikan secara berhemah.
Saya tengok video viral itu. Sejujurnya saya kasihan dekat mangsa sebab dia nampak terlalu takut semasa berdepan situasi itu kerana ramai orang disekelilingnya.
Menurut Zaki, perkara tersebut sememangnya tidak patut berlaku dan tidak perlu sampai lakukan kekerasan jika ada ketidakpuashatian serta lebih elok duduk berbincang.
Zaki turut memberitahu yang mungkin kejadian tersebut berlaku kerana mereka tidak berfikir yang pelakuan buli itu boleh memberi kesan yang berpanjangan, bukan sahaja kepada mangsa tetapi termasuklah kepada pembuli.
Dalam pada itu, Zaki juga mengakui yang dia pernah menjadi mangsa buli ketika berada di sekolah rendah beberapa tahun lalu.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang lagi, Zaki memaklumkan yang dia lebih selesa untuk tidak terlalu menonjol apabila memasuki sekolah menengah.
Ujar Zaki lagi, dia sejujurnya tidak ramai kawan di sekolah kerana lebih suka menyendiri tetapi lebih suka selesaikan sesuatu perkara itu dengan cara elok jika ada perselisihan faham dengan rakan di sekolah.
Sekadar info, media telah melaporkan seramai 10 orang pelajar ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak pada 11 Disember lepas.
Ia susulan sebuah rakaman video pelajar lelaki ditumbuk rakan sebayanya yang tular di media sosial.