Bekas jurulatih bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan tetap bersikap profesional apabila dia dilihat hadir dalam Majlis Jamuan Raya Aidilfitri Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diadakan semalam.
Namun begitu, Zainal enggan bercerita lanjut mengenai kisah perceraiannya meskipun tidak pernah menyorok ataupun menghilangkan diri daripada kontroversi tersebut.
Lapor Harian Metro, jangkaan peminat mengenai dakwaan Zainal tidak akan menghadiri majlis awam ternyata meleset apabila dia dilihat profesional serta berani berhadapan dengan khalayak ramai.
Zainal dilihat hadir memakai baju batik dan tidak kekok untuk beramah mesra dengan rakan seperjuangan dan peminat selain mengetepikan masalah peribadi dengan menghormati pelawaan tuan rumah.
Terdahulu, saudara terdekat jurulatih bola sepak itu mengesahkan bahawa dia telah bercerai dengan isteri kedua, penyanyi Fyna Jebat kira-kira dua minggu yang lalu.
Berita tersebut sememangnya mengejutkan banyak pihak gara-gara kontroversi di sebalik pernikahan itu selain usia perkahwinan yang masih baru.