Bukan satu perkara baharu apabila ada pihak yang akan menggunakan nama ataupun foto artis untuk menarik perhatian ramai dan sekaligus meraih keuntungan.
Baru-baru ini, Zain Saidin juga turut mengalami perkara yang sama apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan foto beliau untuk mempromosikan produk mereka melalui sebuah laman web.
Malah, laman web berkenaan juga memaparkan artikel bagaimana seorang rakyat Malaysia kononnya mampu meraih pendapatan puluhan ribu sebulan selepas menyertai aktiviti kerja dalam talian.
Tidak mahu sebarang masalah timbul melibatkan namanya, Zain telah meminta pihak pengurusannya untuk menyiasat siapakah yang sewenangnya menggunakan foto beliau.
Saya tidak tahu tentang perkara ini dan akan meminta pihak pengurusan saya untuk siasat dengan lebih lanjut.
Untuk pengetahuan anda, foto Zain bersama Aaisyah Dhia Rana juga turut digunakan oleh laman web berkenaan untuk menarik tumpuan orang ramai.
Kalau sudah popular dan mempunyai anak yang popular juga, pasti akan ada sahaja mereka yang licik mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan. Peminat juga janganlah mudah terpedaya dengan taktik kotor ini.