Bekas pemandu dianugerahkan RM150,000 sebagai ganti rugi selepas Mahkamah Tinggi mendapati pelakon Zahida Mohamed Rafik (Zahida Rafik) bertanggungjawab memfitnah bekas pekerjanya itu.
Hakim Datuk Hue Siew Kheng berkata, Noor Azman Azemi berjaya membuktikan terdapatnya unsur fitnah dilakukan terhadapnya.
Hue turut menolak tuntutan balas Zahida, yang menuntut bekas pemandunya memulangkan RM200,000 – dikatakan diambil daripadanya.
 Zahida juga diperintahkan untuk membayar kos kepada Noor Azman sebanyak RM40,000.
Dalam saman malu yang difailkan oleh Noor Azman pada 27 November 2013, dia mendakwa Zahida menuduhnya melarikan wang sebanyak RM200,000.
Dia mendakwa Zahida memfitnahnya dalam akhbar tabloid Harian Metro berkenaan kehilangan wang berjumlah RM200,000 itu dan pada Mac 2012, pelakon dikatakan dengan niat buruk menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang dapat menjumpai Noor Azman.
Zahida sebelum ini juga didakwa mempunyai hubungan romantik dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang juga merupakan seorang menteri Kabinet.
Mahkamah berpendapat hujah pembelaan tentang keistimewaan sampingan dan justifikasi tidak dapat diterima, manakala keterangan saksi defendan yang dikemukakan di mahkamah tidak boleh dipercayai.
Hue berkata mahkamah tidak dapat menerima keterangan Zahida mengenai kewujudan baucar yang dipalsukan.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan Noor Azam yang merupakan saksi tunggal plaintif dan 5 saksi defendan, termasuk Zahida.
Noor Azam berkata, beliau ditahan reman polis selama 4 hari selepas Zahida membuat laporan terhadap dirinya mengenai kehilangan wang itu.
Plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta kos dan bayaran lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Noor Azman, yang turut didakwa di Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan melakukan pecah amanah wang milik Zahida berjumlah RM200,000, berharap keputusan yang sama memihak kepadanya.
“Saya menunggu kes saman ini selesai hampir 3 tahun dan selepas ditangkap pada 2012 saya hilang pekerjaan,” katanya, yang kini bekerja sebagai pemandu teksi.
Noor Azman, yang diwakili peguam Shahid Adli Kamarudin dan Latheefa Koya berkata perbicaraan kesnya di Mahkamah Majistret Ampang akan bermula 23 Mac ini.
Zahida, yang diwakili peguam Sarah Abishegam turut hadir di mahkamah hari ini. – 26 Februari, 2015. Sumber TheMalaysianInsider.
 Â