Mengimpikan sebuah majlis perkahwinan yang istimewa dan lebih privasi buat dirinya dan keluarga, penyanyi Yuna tidak pernah berniat untuk merahsiakan majlis raja seharinya itu daripada orang ramai.
Rasanya ramai mengetahui yang saya seorang yang sangat privasi apabila ia berkaitan dengan hal peribadi. Majlis pernikahan itu bukan diadakan secara rahsia cuma secara privasi di mana saya dapat meraikan hari istimewa itu bersama keluarga dan rakan terdekat. Majlis itu sesuatu yang sangat peribadi buat saya dan biarlah saya simpan sedikit untuk diri sendiri.
Yuna sah menjadi isteri kepada Adam Sinclair hanya dengan sekali lafaz pada hari Jumaat lalu dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga serta sahabat rapat kedua-dua belah pihak.
Majlis resepsi pasangan ini akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini. Tahniah kami ucapkan sekali lagi kepada pasangan ini, semoga kekal sehingga ke syurga.