Penganjur konsert Kharisma Music International, Yuka Kharisma telah menuntut penyanyi Aisha Retno untuk membayar semula wang yang telah dipinjam bagi merealisasikan persembahan ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) pada Mac lalu.
Menurutnya, konsert yang dibatalkan pada 16 November yang lalu sepatutnya menjadi kaedah pembayaran semula wang yang dipinjamkan kepada penyanyi itu.
Namun ekoran penjualan tiket yang tidak memberangsangkan, Yuka berharap pihak Aisha dapat melunaskan baki pembayaran tunggakan sebanyak RM77,000 selepas membuat pembayaran sebanyak RM6,000
Kami dengan rela hati meminjamkan RM83,000 untuk persembahannya di AJL dan setakat ini dia baru jelaskan RM6,000 pada Mei lalu.
Kami tak pernah menjanjikan tajaan malah saya mempunyai bukti melalui mesej langsung dan mesej suara. Kami hanya menaja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan bukan wang dana.
Menurut HibGlam, penganjur itu turut memaklumkan pinjaman wang tersebut dibuat atas jalinan hubungan yang baik dengan penyanyi itu untuk membantu membuat persiapan semasa AJL pada Mac lalu.
Pihak Aisha Retno (ARE) menyatakan bahawa mereka mempunyai kesukaran untuk mencari dana bagi persembahan Aisha pada AJL tersebut dan telah memohon bantuan daripada pihak Kharisma Music untuk merealisasikan persembahannya.
Kami hanya menaja perkhidmatan sebagai pengarah persembahan bukan wang dana.
Penganjur itu turut menambah akibat kesuntukan masa untuk mengumpul dana, Kharisma Music telah bersetuju untuk memberikan pinjaman pendahuluan (advance) bagi memastikan segala persiapan dan persembahan Aisha di pentas akhir AJL berjalan lancar.
Terdahulu, Kharisma Music International memaklumkan Konsert Malam Samudera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November dibatalkan atas faktor jualan tiket.
Ekoran pembatalan konsert itu, Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur membuat keputusan tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu.