May 12th, 2016

Pemain dram kumpulan Search iaitu Yazit Ahmad enggan memohon maaf dan menarik balik laporan yang mendakwa berlakunya pecah amanah didalam kumpulan rock berkenaan. Malah,Yazit akan membuat satu lagi laporan polis atas beberapa penyelewengan lain sebelum ini.

Yazit juga tidak gentar jika kes berkenaan akan dibawa ke mahkamah.

Saya tidak akan memohon maaf atau menarik balik laporan polis yang telah saya lakukan itu. Malah saya akan menambah satu lagi laporan yang akan dibuat di Balai Polis Wangsa Maju. Mereka juga berhak mengenakan apa juga tindakan termasuk bawa kes ini ke mahkamah.

Yazit turut meluahkan rasa kecewa apabila salah seorang ahli Search cuba menafikan haknya dalam urusan pembayaran wang pendahuluan untuk Konsert 35 Tahun Search yang akan berlangsung Ogos depan.

Katanya, beliau mengetahui namanya telah dikeluarkan daripada perjanjian persefahaman antara Search dan penganjur iaitu Afjets Sdn Bhd.

Hasil siasatan saya pada awalnya perjanjian itu ada lima nama dan selepas itu salah seorang ahli kumpulan tersebut meminta nama saya dikeluarkan.

Selepas itu, bayaran pendahuluan sebanyak 30 peratus iaitu RM75,000 telah dibayar atas nama persendirian kepada empat ahli itu sahaja. Saya sedih kerana mereka tidak memikirkan tentang saya sedangkan saya paling memerlukan wang.

Pada masa yang sama, Yazit berkata beliau sudah tawar hati untuk beraksi bersama kumpulan Search dalam Konsert 35 Tahun Search yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Semalam, kumpulan Search  yang lain telah mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan segala kemelut yang berlaku. Yazit diminta untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik laporan pecah amanah terhadap kumpulan Search dalam masa 48 jam. Jika gagal, ahli kumpulan itu tidak teragak-agak untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

Sumber Berita : mStar Online


Comments are closed.

Loading...