Sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut esok, Yayasan PETRONAS memberi sumbangan barangan keperluan asas kepada 300 keluarga kurang mampu dan berpendapatan rendah di Sabah.
Sumbangan barangan keperluan asas itu berupa bekalan makanan dan barangan penjagaan diri diagihkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sumbangan berkenaan diagihkan di empat daerah iaitu Kuala Penyu, Kudat, Tenom dan Tambunan dengan seramai 75 orang penerima dari setiap daerah.
Ketua PETRONAS Sabah dan Labuan iaitu Rokiah Sulaiman menyerahkan sumbangan Yayasan PETRONAS itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat di Kuala Penyu.
Secara keseluruhan, Yayasan PETRONAS membelanjakan RM434,500 untuk mengagihkan sumbangan kepada seramai 3,950 keluarga berpendapatan rendah dan rumah kebajikan serta turut disasarkan untuk kanak-kanak dan warga tua di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Nelly Francis Shariah berkata sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan berlangsung dalam suasana norma baharu.
“Kita mahu menceriakan suasana, terutama dalam keadaan beberapa tradisi sambutan Tahun Baharu Cina seperti Tarian Singa dan berkumpul bersama keluarga dilarang”.
Beliau juga menjelaskan PETRONAS komited untuk membantu golongan kurang bernasib baik ketika musim perayaan ini dengan barangan keperluan yang diharap dapat menceriakan suasana mereka.