Pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah, merayu kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih tegas bagi menuntut pembebasan suaminya, Mohd Zulfadhli Khiruddin, yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menurut Yatt atau nama sebenarnya Haryati Hamzah, beliau dan keluarga masih tidak menerima sebarang maklumat mengenai keadaan suaminya selepas kapal yang dinaiki dipintas pada awal pagi.
View this post on Instagram
Tulisnya di Instagram,
Sebagai rakyat Malaysia, seorang isteri, ibu kepada lima anak, serta menantu kepada keluarga suami saya, saya mendesak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menekan kerajaan Israel agar segera membebaskan semua tahanan flotilla dan membawa mereka pulang dengan selamat.
Yatt turut meminta rakyat Malaysia memperluas kenyataan itu bagi memberi tekanan antarabangsa terhadap Israel yang menculik aktivis tidak bersenjata di perairan antarabangsa.
Katanya lagi, tindakan tersebut adalah jenayah yang wajib dikecam sekeras-kerasnya. Beliau juga mengajak orang ramai menunaikan solat hajat serta terus berdoa demi keselamatan semua sukarelawan.
Setakat ini, dilaporkan 12 rakyat Malaysia ditahan Israel, manakala sembilan lagi masih gagal dihubungi dan dua kapal lain dilaporkan berada dalam keadaan statik.