Beberapa bulan lepas, Yatt Hamzah telah diduga dengan masalah rumah tangga sehingga hampir merobohkan masjid yang dibina bersama suami Abdul Mutalib Abdul Shukor. Berkat kesabaran dan kasih sayang yang masih wujud didalam hati kedua-dua mereka, akhirnya perkahwinan mereka berjaya diselamatkan dan kini Yatt dan suami sedang bahagia bersama anak mereka Suci Hanania Malika.
Alhamdulillah, perkara lepas banyak mengajar dan paling bermakna ialah saya belajar menjadi hamba-Nya yang redha. Sebelum ini bila Allah datangkan ujian dan dugaan, saya mungkin cepat rapuh. Namun, sejak insiden itu saya menjadi lebih redha, sekaligus mendidik saya menjadi insan yang lebih bersyukur.
Lebih bermakna lagi, Yatt sekeluarga telah diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menunaikan ibadah umrah selama dua belas hari dan sekaligus menyambut bulan suci Ramadan di tanah suci Mekah.  Yatt sebenarnya sudah lama memasang niat untuk menyambut dan berbuka puasa di Masjidil Haram dan sudah berangkat ke Mekah pada hari ini.
Sebenarnya ia perancangan spontan, saya yang ajak suami ke sana sebab memang sudah lama saya teringin sangat mahu menyambut Ramadan di sana, berbuka dengan kurma dan air zam-zam di depan Masjidil Haram.
Pada mulanya proses untuk ke sana agak mustahil sebab kalau kita mahu buat umrah pada bulan Ramadan, kosnya dua kali ganda dan proses seperti visa juga sukar diperolehi dengan cepat tetapi alhamdulillah segala urusan kami berjalan lancar. Insha Allah, sempena Ramadan ini saya mahu cari keredhaan-Nya. Mudah-mudahan umrah ini akan mengakrabkan lagi ikatan kami sekeluarga.Walaupun berpuasa, ini juga kira ‘honeymoon’ saya dan suami.
Ini merupakan umrah kali ketiga bagi Yatt Hamzah tetapi pertama kali ketika Ramadan. Sementara, bagi Abdul Mutalib dan Suci ia merupakan umrah kali kedua buat mereka.
Sejuk mata kami memandang keluarga bahagia Yatt Hamzah, itulah kata orang kadang-kadang kita perlu bermuhasabah diri sebelum membuat keputusan untuk berpisah dengan pasangan. Syukur,Yatt dan suami diberi petunjuk untuk memperbaiki kesalahan lalu dan kini sudah bersatu semula.
Sumber Berita: Malaysian Digest