Pelawak, Saiful Apek memaklumkan sahabatnya iaitu Yassin yang ditahan di Arab Saudi bakal pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri ini.
Menurut Harian Metro, Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff berkata, sebelum ini mereka mendiamkan diri bagi menghormati pihak keluarga Yassin.
Hormat keluarga Yassin
Selama ini kami diam diri kerana menghormati pihak keluarga Yassin, tapi melalui maklumat keluarga yang saya terima dia akan balik sebelum Aidilfitri.
Kami lega apabila dapat tahu dengan lebih terperinci keadaan dirinya. Saya dan Yassin dah kawan lama. Mungkin dia tak pandai mana tapi dia tak bodoh.
Cuma saya nak bagitahu pada semua supaya hentikan segala spekulasi. Kita tunggu tuan empunya badan balik dan biar dia sendiri yang ceritakan kejadian sebenar yang berlaku sampai dia ditahan.
Dah hafal 20 juzuk al-Quran
Menurutnya, sahabatnya itu tidak ditahan di penjara sebaliknya sedang menjalani rawatan di sebuah pusat pemulihan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
Saya lega dia berada dalam keadaan yang baik. Dia pun dengarnya sudah hafal sehingga 20 juzuk al-Quran kerana dapat ‘kursus percuma’.
Tiada benda jadi kebetulan, insya-Allah sebelum Aidilfitri ini dia pulang untuk bersama dengan keluarganya dan kami akan sambut dengan penuh gembira.
Pelawak itu turut memberitahu dia berpeluang untuk bercakap dengan Yassin menerusi panggilan video di aplikasi Zoom dan difahamkan berat badan sahabatnya itu sudah bertambah.
Hulur bantuan buat Yassin
Dalam pada itu, Apek turut mengakui bahawa dia dan rakan-rakan yang lain ada menghulurkan bantuan untuk memastikan rakannya itu berada dalam keadaan baik.
Sebagai sahabat, kami saling berkongsi rezeki dalam menyediakan segala keperluan di sana.
Saya rasa kalau saya sendiri ditimpa musibah, pasti sahabat-sahabat saya akan lakukan perkara yang sama.
Inilah gunanya sahabat. Cuma tiada lah masalah kewangan yang kritikal sepanjang dia berada di sana. Semuanya ditangani dengan baik.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat seorang pelawak yang ditahan di Jeddah selepas disyaki terbabit memiliki bahan terlarang jenis ganja namun identitinya tidak didedahkan.
Pelawak itu dilaporkan sedang menjalani hukuman selama enam bulan di negara itu.
Difahamkan, pelawak itu berkemungkinan akan dibebaskan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.