Pelawak terkenal iaitu Yassin Senario akhirnya tampil menceritakan detik hitam ketika ditahan di Jeddah, Arab Saudi selama enam bulan sebelum dibebaskan minggu lalu.
Memetik laporan Kosmo! Online, Yassin atau nama lengkapnya Yassin Yahya, 47, memberitahu penahanannya tiada kaitan dengan penyalahgunaan dadah seperti yang didakwa ramai.
Sebaliknya, ia berpunca daripada barangan peribadi yang disalah erti pihak berkuasa Arab Saudi.
Saya naik penerbangan lapan jam ke Jeddah. Sebelum berlepas, saya terfikir macam mana nak merokok di sana. Jadi, saya beli rokok kertas, ‘grinder’ dan sekotak rokok di lapangan terbang.
Kastam nampak benda mencurigakan
Kata Yassin, ketika dia tiba di Jeddah, begnya diimbas ketika transit di Madinah. Pihak kastam nampak sesuatu dan mengarahkannya untuk membuka beg.
Dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang mencurigakan, terus mereka selongkar semua.
Saya cakap, ini rokok, kalau ragu-ragu boleh buat ujian air kencing. Saya suruh mutawif tinggalkan saya sebab mereka nak kejar penerbangan. Tapi saya dibawa ke bilik soal siasat.

gambar hiasan
Tambahnya lagi, dia ke Tanah Suci selepas menerima tajaan menunaikan umrah bersama 24 artis veteran yang lain.
Saya teruja dan fikir inilah waktunya. Saya ada job, tapi bila fikir balik, ini peluang yang saya tunggu. Saya tanya isteri dan mak. Mak kata baru semalam dia doa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Saya rasa ini petanda.
Tapi saya tak sempat pergi kursus. Saya belajar guna YouTube saja dalam masa singkat. Masa itu Senario baru menang Artis Komedi Popular, jadi saya nak wakili kami untuk berdoa.
Namun, dia tidak menyangka perjalanannya itu berakhir di lokap khas tahanan dadah.
Selepas soal siasat, saya ingat nak dilepaskan, tapi saya digari dan dibawa naik kenderaan polis ke balai di Jeddah. Beg dan telefon diambil. Saya dimasukkan ke sel tahanan untuk kes dadah.
Saya tak tahu apa salah saya. Kalau lambang pada barang boleh jadi isu, patutnya saya dah ditahan sejak di Malaysia. Saya cuma berserah dan zikir dalam hati, minta Allah tolong.
Pelawak itu selamat kembali ke tanah air minggu lalu selepas enam bulan ditahan.