Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas tiga pertuduhan dadah.
Memetik laporan Kosmo! Online, keputusan sebulat suara diputuskan panel hakim yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali selepas membenarkan rayuan akhir Yasin selaku perayu untuk mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Yasin atau nama lengkapnya Muhammad Yasin Sulaiman akan ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membebaskan Yasin Sulaiman daripada tiga pertuduhan berkaitan dadah. Bagaimanapun, pada Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut.
Pertuduhan pertama melibatkan pemilikan 193.7 gram kanabis di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022. Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun penjara serta sebatan minimum 10 kali.
Bagi pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok kanabis di lokasi dan tarikh yang sama. Tuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga pula melibatkan kesalahan memasukkan dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ ke dalam badan di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya. Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.