Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan memberi respons lanjut terhadap kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencabar kerajaan untuk mendakwanya di mahkamah berhubung isu Pulau Batu Puteh. Ketika ditanya oleh media, Anwar ringkas menjawab,
Biarlah dia.
Sebelumnya, Dr. Mahathir menegaskan beliau tidak mahukan sebarang imuniti jika benar bersalah dalam isu kegagalan merayu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Pulau Batu Puteh. Malah, beliau mendakwa Anwar telah menjatuhkan hukuman terhadapnya secara terbuka di Dewan Rakyat.

Katanya sebelum ini,
Yang menghukum saya bersalah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yang mengumumkan saya tidak perlu diambil tindakan juga adalah Datuk Seri Anwar. Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja Perdana Menteri, dia juga hakim dan juga pendakwaraya.
Bagaimanapun, Anwar telah pun menyatakan bahawa kerajaan tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr. Mahathir. Katanya, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor usia bekas Perdana Menteri itu.