Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, aktiviti perayaan, keagamaan dan juga sosial perlu dihadkan bagi mengelakkan jangkitan sesama masyarakat.
Baru-baru ini tular di media sosial Facebook apabila seorang warga maya meluahkan rasa marah, kecewa dan hiba kerana tidak dibenarkan masuk untuk melakukan solat Jumaat di sebuah masjid.
Warga maya yang dikenali sebagai Shaiful Hakim mengeluarkan kenyataan yang berbaur sindiran terhadap golongan yang berkuasa kerana mereka dibenarkan masuk ke kawasan masjid meskipun datang lewat. Dia juga mendakwa orang awam yang tiba lebih awal daripadanya tidak dibenarkan masuk.
Katanya lagi, dia yang baru saja membuka sejadah di tepi pagar, tiba-tiba kelihatan sebuah Vellfire keluar bersama susuk tubuh individu bersama seorang pengiring.
“Tak dapat masuk. Dah penuh”
Dalam beberapa minit, kelihatan seorang AJK bergegas berlari untuk membuka pintu pagar yang berkunci sambil memanggil salah seorang daripada mereka yang masih berada di pagar masjid. Namun, Shaiful tidak dibenarkan masuk kerana AJK mendakwa dia tidak membuat sebarang pendaftaran nama dengan imam masjid tersebut.
Lebih mengecewakan, pembesar suara di luar masjid juga tidak dipasang menyebabkan mereka yang berada di luar masjid tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang disampaikan.
“Seluas-luas masjid sudah disempitkan, bahkan mana-mana kaum Muslimin yang berhimpun untuk bersolat jemaah juga turut dihukum. Yang mana ada kuasa, ada harta, ada kontak rapat, makan dia diberi peluang. Biarpun sampai lambat. Tapi yang hadir awal, disuruh pulang”.
“Senakal-nakal, seteruk-teruk atau sejahat manapun anak jantan, hari Jumaat mahu juga dia bertandang ke rumah Tuhan untuk meratapi jiwanya yang penuh dosa dan menyembah Tuhan dengan penuh harap akan keampunan dari-Nya”.
Rata-rata warga maya yang membalas komen juga bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Shaiful.
Shaiful juga meminta pihak bertanggungjawab untuk melonggarkan SOP bagi para jemaah di masjid memandangkan situasi norma baharu yang perlu dihadapi sekarang.