Selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Dayana Roza mengesahkan telah bercerai dengan suaminya yang juga usahawan, A’dale Adham Ayahudin, sejak 18 Disember lalu.
Dayana atau nama penuhnya Nur Dayana Kamsun Baharin, 34, dilihat hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak pada tarikh tersebut bagi menyelesaikan urusan perceraian. Bagaimanapun, pelakon itu tidak membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai status perkahwinannya di media sosial.
Ketika dihubungi, Dayana mengesahkan kehadirannya ke mahkamah dan memaklumkan bahawa dia kini sah bercerai talak satu serta sedang menjalani tempoh idah.
Ya, memang saya hadir ke mahkamah tersebut untuk proses cerai. Saya kini sah bercerai talak satu dan sedang menjalani tempoh idah.
Mengulas mengenai punca perpisahan, Dayana menjelaskan bahawa dia dan bekas suami sudah tidak lagi mempunyai persefahaman walaupun pernah cuba menyelamatkan rumah tangga mereka sebelum ini.
Sebenarnya tahun lalu kami hampir bercerai, tetapi saya beri peluang kedua untuk memulihkan keadaan. Namun nampaknya sampai di sini sahaja jodoh kami.
Ibu kepada dua cahaya mata itu turut memaklumkan hasrat untuk kembali aktif dalam dunia lakonan demi membesarkan anak-anaknya yang masih kecil.
Saya perlu bekerja keras untuk membesarkan anak-anak. Insya-Allah, jika ada tawaran yang sesuai dan kena dengan masa, saya akan terima. Anak-anak saya masih kecil dan perlukan perhatian.
Sebelum ini saya banyak menolak tawaran lakonan kerana mahu fokus kepada keluarga. Tetapi sekarang, saya perlu kembali mencari rezeki demi anak-anak.
Untuk rekod, Dayana dan A’dale mendirikan rumah tangga pada 25 Disember 2020 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Astrid Raheeya, 4, dan Aryan Andika, 2.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
