Semalam, tular video rakaman mempamerkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk Terminal 1, KLIA dan menyuruh pegawai imigresen untuk membebaskan pelancong dari China yang ditahan.
Menurut sumber, beliau dikatakan telah menggunakan kuasa menterinya untuk memarahi polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen dan ini merupakan kali ketiga kejadian sebegitu berlaku.
Terbaru, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengakui individu yang tular membuat kecoh di dalam video tersebut adalah dirinya.
Ketika ditemu bual, beliau akui berada di sana dan kekecohan itu berlaku kerana sedang membongkar ‘peristiwa memalukan negara’.
Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.”
Tiong menafikan dakwaan bahawa beliau cuba melepaskan pelancong wanita dari China yang ditahan imigresen dan berkata masih tahu batas sebagai seorang menteri.
Jelasnya lagi, pelancong tersebut telah ditahan tanpa diberikan alasan atau sebab dan ditambah pula dengan masalah komunikasi dengan pihak imigresen di KLIA.
Turut bersama Tiong ketika kejadian adalah pegawai siasatan dari unit integriti bawah kementerian.
Tambahnya, selain kejadian ditahan tanpa sebab itu sebelum ini juga pernah berlaku insiden pelancong yang dirampas telefon bimbit tanpa diberitahu alasan.
Bukan itu sahaja, beliau turut dimaklumkan tentang pegawai imigresen yang meminta wang sekiranya pelancong yang ditahan mahu dilepaskan.
Pada mulanya saya tidak mahu dedah perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal. Saya rasa sudah tiba masanya SPRM masuk ke KLIA secara besar-besaran.”