Drama bersiri Korea berjudul Winter Sonata pernah menawan hati penonton Malaysia sekitar awal tahun 2000 sehingga menjadi fenomena ketika itu.
Fenomena itu menyebabkan penonton terpaku di hadapan televisyen setiap kali ia ditayangkan.
Malah lagu latar drama tersebut dinyanyikan semula oleh penyanyi Hazami ke dalam bahasa Melayu pada tahun 2007 yang diberi judul Sonata Musim Salju.
Rata-rata jatuh hati dengan hero dan heroin drama tersebut, Bae Yong-joon dan Choi Ji-woo. Malah, drama itu juga secara tidak langsung berjaya mempromosikan beberapa lokasi pelancongan seperti Pulau Nami.
Selepas hampir 20 tahun ditayangkan, khabar gembira kedengaran apabila pengarah Kim Yong-soo sedang bekerjasama dengan penulis asal drama tersebut Yoon Eun Kyung dan Kim Eun Hee untuk menghasilkan sekuel Winter Sonata.
Namun difahamkan pengarah asal drama ini menolak untuk memberikan kerjasama menjayakan sekuel ini berikutan kes kematian salah seorang pelakon drama ini, Park Yong Ha pada tahun 2010 lalu kerana membunuh diri.
Kalau mengikut perkiraan, kedua-dua pelakon utama drama ini kini sudah berusia dalam lingkungan 40-an.
Justeru ia menjadi persoalan, adakah pelakon utama drama ini akan tampil semula untuk menjayakannya atau diberi kepada pelakon popular masa kini?