Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang menyelaras kerjasama dengan pihak berkuasa China mengenai strain baru selesema babi (H1N1) yang ditemui negara itu baru-baru ini. Mereka akan membuat penilaian lebih teratur mengenai virus yang dilaporkan merebak dalam kalangan pekerja ladang-ladang babi di China.
Pengarah serantau WHO bagi Pasifik Barat, Dr Takeshi Kasai berkata sistem WHO juga mula mengesan wabak ini dan mereka sedang mula mengkaji mengenai virus berkenaan. Menurutnya, maklumat semasa yang dimiliki WHO mengenai virus baru itu tidak mencukupi bagi membolehkan mereka mengambil tindakan lanjut.
“Kami sedang bersiap sedia menghadapi jangkitan influenza, lanjutan kepada COVID-19 ini.”
Sekumpulan saintis dalam kajian terbaharu mereka berpendapat strain baru H1N1 virus selesema babi ketika ini sedang merebak secara beransur dalam kalangan penternak babi di China dan ia harus dikawal dengan segera bagi mengelak satu lagi pandemik.
Untuk makluman, H1N1 amat mudah dijangkiti dan pernah merebak di seluruh dunia pada tahun 2009, membunuh kira-kira 285,000 orang dan kini bertukar menjadi selesema bermusim.
Strain baru yang dikenali sebagai G4 EA H1N1, biasa dikesan di ladang-ladang babi di China sejak 2016 dan mereplika dengan berkesan dalam saluran udara manusia. Sehingga ini ia telah menjangkiti beberapa orang tanpa menyebabkan penyakit, tetapi pakar kesihatan bimbang ia boleh berubah tanpa sebarang amaran.
Artikel berkaitan: Virus Selesema Baru Dikesan Di China Berpotensi Menjadi Pandemik