Masih ingat lagi dengan kontroversi telefilem Saloma yang hangat diperkatakan beberapa bulan lalu? Permintaan waris-waris Allahyarham AR Tompel tidak diendahkan oleh pihak penerbit biopik ini menyebabkan lantas mereka cuba membawa perkara ini ke mahkamah dengan memfailkan kes saman. Sayangnya, kelonggaran undang-undang menyebabkan hasrat waris-waris AR Tompel yang diketuai oleh Adlin Aman Ramli tidak dapat diteruskan.
Untuk makluman, pihak penerbit dan juga pihak Astro yang menayangkan telefilem Saloma ini tidak melayan beberapa tuntutan yang diminta oleh waris-waris AR Tompel ini. Antara tuntutannya ialah menghentikan tayangan telefilem ini secara serta-merta. Abang Nara tertarik dengan penjelasan Adlin Aman Ramli mengenai kegagalan kes saman ini diteruskan. Kata Adlin:-
Fasalnya, peruntukan kita terhadap kes-kes yang sebegitu sangat longgar dan oleh sebab itu mereka bagaikan tiada perasaan bersalah menyiarkan telefilem itu.
Jika hendak saman malu, hanya individu yang dimalukan sahaja boleh mengeluarkan saman itu. Malangnya, dalam kes ini, individu berkenaan telah pun meninggal dunia.
Biarpun AR Tompel itu adalah ayah saya, namun saya langsung tidak berhak ke atasnya.
Kasihan pada mereka yang telah meninggal dunia dan kemudiannya dieksploitasi sehingga meninggalkan kesan negatif kepada penonton.
Lebih memburukkan lagi, diri sendiri tidak boleh dibela lagi waima anak mereka sekalipun
Hmmm. Mungkin pihak-pihak terbabit boleh membuat sedikit kajian mengenai peruntukan undang-undang dalam hal ini. Abang Nara pun baru tahu yang kes saman malu hanya boleh dilakukan oleh individu yang dimalukan. Mungkin harus ada penjelasan yang lebih lanjut mengenai perkara ini. Apa pun, tayangan telefilem biopik Saloma telah pun tamat di Astro First. Semoga isu seperti ini tidak lagi dibangkitkan di masa hadapan.