Polis Thailand berjaya menahan seorang suspek warga Malaysia yang merompak sebuah kedai emas di Hatyai pada 8 April yang lalu.
Menurut The Nation, suspek dikenal pasti sebagai Yee Boon Long berusia 61 tahun itu telah ditangkap pada 6.30 petang semalam di terminal bas di Selatan Bangkok ketika sedang dalam perjalanan ke rumah anaknya di daerah Nonthaburi.
Polis turut merampas bukti termasuklah barang kemas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru. Suspek kini ditahan reman sementara menunggu tindakan lanjut.
Kejadian rompakan itu berlaku kira-kira jam 11.55 pagi di Kedai Emas Thai Udom 2 di Jalan Montri, pusat bandar Hatyai dan suspek yang tidak memakai penutup muka telah masuk ke premis dan bersenjata.
Kata Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Polis Ke-6, Anusorn Thongsai, suspek telah menakutkan pekerja dan merompak 138 bahagian barang emas dari tempat pameran sebelum melarikan diri bersama hasil rompakan bernilai THB9 juta (kira-kira RM1,176,021).
Suspek kemudian melarikan diri dari premis membawa sebuah beg berisi barang yang dirompak dan menggunakan motosikal yang kemudiannya ditinggalkan lebih kurang 300 meter dari lokasi kejadian.
Ada rekod lampau, pernah dipenjara
Difahamkan, suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan turut dikenali dengan beberapa nama lain termasuklah nama Thai iaitu Anucha Saeyeoh.
Suspek juga pernah dipenjara kerana kesalahan merompak sebuah kedai emas di Hatyai pada 6 Januari 2017 sebelum dibebaskan pada 22 September 2023 dan dihantar pulang ke Malaysia melalui Pintu Sempadan Sadao di Songkhla.
Polis Thailand juga percaya suspek turut dikehendaki di Malaysia kerana merompak sebuah kedai emas di Butterworth dan Seberang Perai kira-kira 20 tahun lalu.
Dia didakwa lari ke Thailand bersama barang kemas bernilai THB50 Juta (RM6,533,450) dan dipercayai bekerja sebagai pembunuh upahan dengan 10 mangsa dikaitkan dengannya.
Terdahulu, polis Thai menawarkan wang tunai THB100,000 (RM13,000) kepada pemberi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.