Beberapa hari selepas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan operasi di sekitar pasar borong Selangor, di Seri Kembangan, kelihatan peniaga asing kembali aktif menjalankan perniagaan mereka di sekitar pasar borong tersebut.
Suasana itu jelas menimbulkan rasa kurang senang dan mengganggu peniaga tempatan yang sudah lama berniaga di situ.
Memetik laporan Sinar Harian, seorang peniaga yang dikenali sebagai Singh berpendapat pihak berkuasa belum berjaya membanteras isu peniaga asing walaupun beberapa operasi sebelum ini telah dilaksanakan.
Beliau juga mendakwa operasi itu gagal kerana ada segelintir peniaga asing berjaya melarikan diri sebelum pihak berkuasa tiba di lokasi. Tambah beliau, kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah memaklumkan kehadiran PBT menyebabkan mereka sempat meloloskan diri.
“Jadi bila pihak PBT sudah pulang, mereka (peniaga asing) akan kembali ke lot gerai dan teruskan perniagaan seperti biasa”
Seorang peniaga daging yang dikenali sebagai Jamal mendakwa, kebanyakan daripada peniaga asing tidak mempunyai lesen yang sah atau sekadar berniaga atas tapak kedai orang lain.
“Saya berharap pihak pengurusan mencontohi kaedah yang digunakan di Pasar Borong Selayang, di mana peniaga warga asing tidak dibenarkan untuk berniaga sama sekali”
Menceritakan pengalaman seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Rusli, dia berkata pernah dimarahi oleh peniaga asing kerana tidak membuat pembelian setelah memilih barang jualan mereka.
“Bila saya tak beli barang jualan, mereka seolah-olah memerli saya dalam bahasa ibunda mereka sambil menjeling”
Malahan ada di antara mereka (peniaga asing) menipu pelanggan dengan menipu berat timbangan barang jualan tidak sama dengan harga yang dibayar atau tidak telus dalam urusan jual beli. Pada masa yang sama, mereka juga bersikap kasar menyebabkan pelanggan takut untuk membeli barangan daripada mereka.