Gempar di laman Facebook baru-baru ini apabila satu insiden melibatkan aktiviti sukan lasak iaitu ‘rope swing’ yang melibatkan seorang wanita bernama Siti Halijah Abd Rahim tular di laman berkenaan.
Laporan mStar Online mendedahkan, adiknya yang dikenali sebagai Mohamad Yakub memaklumkan, terdapat kesilapan teknikal ketika wanita terbabit membuat terjunan.
Ujarnya lagi, Halijah tergantung pada ketinggian 10 meter sebelum beliau dikhabarkan terhempas ke atas batu dan jatuh ke dalam Sungai.
Dedah Yakub, beliau merupakan individu yang terlebih dahulu membuat terjunan sebelum giliran kakaknya. Tidak ketinggalan, ahli keluarganya juga berada di tempat kejadian.
“Selepas daftar, giliran saya yang terjun dahulu. Masa saya kat bawah, saya tengok dia terjun dan swing sampai berhenti. Kira-kira 10 meter dari atas air, saya sempat sembang dengan dia. Dia kata best gila. Saya pusing ke belakang nak ke tempat dia mendarat, tiba-tiba terdengar bunyi jatuh,” katanya.
Dedahnya, Halijah juga sebelum ini memang sudah lama berhajat mahu melakukan aktiviti itu. Hal ini dmeikian kerana, beliau difahamkan telah berulang kali mengajak sehinggalah Yakub bertindak menunaikan hajat tersebut.
“Dah lama dia nak buat terjunan rope swing, dah banyak kali..saya tepis dia ajak, tapi kali ini saya tunaikan hajat lama dia. Kami sekeluarga pergi pada hari itu termasuklah emak saya,” tambahnya.
Sekadar informasi, ketika diselamatkan, Halijah dikatakan berada di dalam air dan dibawa keluar oleh petugas water rafting. Dalam keadaan lemah, mangsa memaklumkan bahawa dirinya tidak lagi merasa kakinya.
Untuk rekod, beliau kini dirawat di Hospital Selayang bagi menjalani pembedahan akibat patah tulang belakang. Bagaimanapun, pihaknya langsung tidak menyalahkan mana-mana pihak yang menganjurkan aktiviti tersebut, malah mereka bersedia untuk bertanggungjawab.
Sumber: mStar