Seorang wanita dari Pakistan meraih perhatian ramai apabila dia dikatakan mengalami bengkak separuh bibir gara-gara rawatan kecantikan yang ‘separuh siap’.
Ujar wanita yang dikenali sebagai Hareem Shah itu, dia membuat rawatan kecantikan itu di negara United Kingdom (UK).
Ketika prosedur suntikan bibir itu sedang dilakukan, dia menerima panggilan telefon yang mengatakan akaun bank miliknya telah dibekukan.
Saya sekarang berada di UK. Hari ini saya berjumpa doktor untuk prosedur suntik bibir. Doktor baru suntik separuh bibir saya, kemudian saya terima panggilan mengenai akaun bank saya dibekukan.
Wanita tersebut kemudiannya memaklumkan kepada doktor bertugas bahawa dia tidak mampu untuk membuat bayaran penuh rawatan tersebut, dan menyebabkan prosedur berkenaan dilakukan separuh jalan sahaja.
Menerusi laporan Daily Star, akaun bank wanita itu dibekukan oleh Agensi Siasatan Persekutuan (FIA) kerana disyaki terlibat dengan pengubahan wang haram dan disiasat sejak 12 Januari lalu.
Wanita itu sebelum ini pernah memuat naik video memaparkan sejumlah wang yang banyak dan dia difahamkan merupakan seorang selebriti media sosial yang mempunyai jutaan pengikut di TikTok.