Wanita yang menjadi mangsa penderaan suami sehingga koma, Jahidah Nordin akhirnya bercerai setelah Mahkamah Syariah meluluskan tuntutan fasakh yang difailkan oleh ahli keluarganya.
Perkara itu turut diuar-uarkan adik Jahidah, Fauziah Nordin menerusi satu hantaran di media sosial Facebook miliknya.
Alhamdulillah. Tuan Hakim sahkan tuntutan cerai fasakh Kak Jahidah hari ini. Kakak Jahidah bukan lagi isteri. Terima kasih Ya Allah. Alhamdullilah cerai.
Keputusan persetujuan Fasakh itu dibuat secara tertutup oleh Hakim Hamizan Mohd Nor setelah mempertimbangkan keterangan bertulis yang disediakan oleh adik mangsa.
Terdahulu, bekas suami Jahidah telah bertindak memukul bahagian kepala, muka dan tangan termasuk menghentak kaki pada belakang Jahidah yang pada ketika itu hamil enam minggu sehingga cedera parah.
Jahidah kemudian terlantar koma sehingga ke hari ini akibat sebahagian tempurung kepala yang terpaksa dibuang akibat pendarahan susulan kecederaan parah tersebut.
Suami mangsa, Rosmaini Abd Raof yang kini masih bebas dilaporkan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendera Jahidah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor pada 17 Jun lalu.