Wanita yang sebelum ini mengkritik pempengaruh masakan Che Sayang Kitchen secara terbuka akhirnya tampil memohon maaf selepas menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Individu yang menggunakan nama Anything Pasta di platform X menjadi perhatian ramai apabila dia sebelum ini mengkritik cara penyediaan resipi oleh Che Sayang yang didakwa sebagai tangkap muat serta tidak mempunyai seni masakan.

Susulan kenyataan tersebut, Anything Pasta menerima kecaman daripada sebahagian netizen yang mempertahankan Che Sayang. Ramai berpendapat pempengaruh itu sekadar berkongsi resipi ringkas bagi memudahkan orang ramai meniru dan mencubanya sendiri di rumah.
Berikutan kontroversi itu, Anything Pasta kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui keterlanjurannya ketika mengkritik resipi berkenaan. Dia menjelaskan bahawa pandangan tersebut dipengaruhi oleh cara dirinya yang terlalu menitikberatkan prinsip makanan dan disiplin kulinari.
Dalam kenyataan yang dimuat naik, dia turut menafikan mempunyai niat untuk membuli atau menyebarkan kebencian terhadap Che Sayang, namun mengakui kata-katanya kedengaran kasar.
“Salam, Saya ingin menjelaskan mengenai situasi terkini berkenaan komen saya terhadap video makanan terbaru Che Sayang.”
“Bukan niat saya untuk membuli atau menyebarkan kebencian terhadap sesiapa. Namun, saya mengakui bahawa pemilihan kata-kata saya termasuk “tak semenggah” serta komen saya mengenai kemahiran dan teknik beliau kedengaran kasar dan tidak sesuai.”

“Saya faham bahawa kata-kata saya mungkin telah melukakan atau menyinggung perasaan, dan saya dengan ikhlas memohon maaf.”
“Kepada Che Sayang, dan kepada sesiapa sahaja yang berasa sedih atau terkesan dengan komen saya sama ada secara peribadi, melalui Anything Pasta, atau @albeitniko, saya benar-benar memohon maaf.”
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

