Rambut beruban pastinya sering dikaitkan dengan faktor umur yang semakin berusia. Namun bagaimana pula jika ia berlaku ketika anda masih muda remaja? Itulah yang berlaku pada seorang wanita iaitu Sara Eisenman dari Arizona, US apabila rambutnya mula beruban pada usia 21 tahun.
Terkejut dengan perubahan yang berlaku secara mendadak itu, beliau mewarnakan rambut dengan sendiri di rumah pada setiap dua minggu untuk menyembunyikan rambutnya yang beruban. Akibat rasa malu dengan rambutnya itu, Sara berterusan dengan rutin itu sehingga beliau berusia 37 tahun.
Malah beliau pernah mewarnakan rambutnya beberapa jam sebelum melahirkan anaknya hanya kerana mahu menyembunyikan rambutnya yang beruban dari orang ramai.
Kini neuroscientist dan penulis yang berusia 43 tahun ini tidak lagi mewarnakan rambutnya dan mula menerima keadaan itu dengan seadanya. Malah, dia lebih menghargai kekurangan yang ada dan menganggapnya sebagai satu tarikan yg unik pada dirinya.
Beliau kini aktif di laman sosial Instagram @saraissilver dengan seramai 11 ribu pengikut. Pengikutnya turut memuji kecantikan rambutnya yang dikatakan unik dan lain dari biasa.
Pastinya ramai yang tertanya apakah punca yang menyebabkan keadaan ini berlaku kan? Ada tiga faktor yang mungkin menyumbang kepada rambut beruban pada usia muda.
1. Keturunan
Jika ibu dan bapa mengalami keadaan yang sama pada usia yang muda kebarangkalian untuk anak-anak turut mengalaminya adalah tinggi.
2. Stress
Stress juga bantu mendorong pertumbuhan rambut beruban jika anda sering berada dalam keadaan yang tertekan. Jadi, kawal stress anda dengan bijak.
3. Kekurangan Vitamin B
Vitamin B sangat penting untuk menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat sekaligus mengelakkan rambut beruban berlaku. Kekurangan Vitamin B juga turut akan melemahkan sel rambut.
Sekiranya anda mengalami rambut beruban pada usia muda, jadilah seperti Sara Eisenman yang kini menghargai keunikan itu sebagai satu kelebihan. Bak kata orang putih embrace your flaws!
Sumber: Metro UK, Healthline