Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini telah menolak rayuan seorang wanita yang menuntut nafkah bulanan sebanyak 2,500 dolar Singapura (SGD) (lebih kurang RM8,258) daripada bekas suaminya.
Menurut laporan The Straits Times, hakim berkenaan bagaimanapun mengurangkan pembahagian harta sepencarian bekas suami wanita itu sebanyak 10 peratus atas alasan lelaki tersebut beberapa kali menjejaskan perkahwinan serta kebajikan isterinya.
Wanita terbabit, berusia 39 tahun dan bekerja sebagai pembantu tadbir dengan pendapatan bulanan 2,340 SGD (sekitar RM7,729), akan terus menerima nafkah simbolik sebanyak 1 SGD (kira-kira RM3.30) sebulan seperti yang telah diputuskan oleh hakim mahkamah daerah sebelum ini.
Menurut peguam wanita itu kepada The Straits Times, bayaran simbolik ini mengekalkan haknya untuk memohon sokongan kewangan daripada bekas suami pada masa akan datang.
Wanita tersebut memfailkan perceraian pada tahun 2023. Bekas suaminya ialah anggota tetap Angkatan Bersenjata Singapura berusia 46 tahun dengan pendapatan bersih bulanan sebanyak 5,212 SGD (lebih kurang RM17,216).
Dalam keputusan yang dibuat pada 7 Mei, hakim Choo Han Teck menganugerahkan wanita itu 25 peratus daripada pemilikan flat yang merupakan sebahagian daripada harta sepencarian, meningkat daripada 20 peratus yang diberikan oleh hakim daerah sebelumnya.
Beliau juga diberikan lebih 52,000 SGD (sekitar RM171,760) sebagai bahagiannya daripada aset perkahwinan yang lain.
Hakim Choo bersetuju wanita itu tidak perlu menerima nafkah besar kerana dia bekerja, berdikari, dan mendapat agihan aset yang adil. Sumbangannya sebanyak 327 SGD (RM1,080) sebulan untuk nafkah anak juga dianggap wajar. Mahkamah mengekalkan nafkah simbolik 1 SGD sebulan selama empat tahun memandangkan beliau adalah warga asing tanpa sokongan keluarga di Singapura.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.