Sebelum ini kita pernah terdengar mengenai kisah rumah tangga yang hanya bertahan 50 hari. Kemudian tampil seorang wanita lain yang mengatakan rumahtangganya hanya bertahan 30 hari.
Terbaru, seorang wanita memberitahu yang rumahtangganya hanya bertahan empat hari atas sebab yang dia sendiri tidak menjangkakan. Ikuti kisahnya:
Di sini saya ingin berkongsi peristiwa yang baru berlaku dalam hidup saya. Saya telah bernikah pada 30 Julai yang lepas serta majlis sanding diadakan di kediaman keluarga saya.
Pada keesokan harinya majlis sanding menyambut menantu diadakan pada pihak lelaki.
Saya mengakui pada malam pertama, selepas mandi saya bersalin baju di bilik lain, bila mana saya masuk suami telah tidur.
Awal Ogos suami telah ke luar daerah atas urusan kerja selama dua hari. Tetapi sekembalinya suami dari luar daerah, dia telah datang ke rumah bersama dua orang lelaki. Kedua-duanya adalah ahli keluarganya.
Pada malam itu, bersamaan hari keempat kami bergelar suami isteri, dia telah menceraikan saya di hadapan ahli keluarga yang lain. Dia ceraikan saya dengan talak dua, dengan alasan tidak terima saya bersalin pakaian di bilik lain.
Saya dan ahli keluarga tergamam dengan kata-kata dia. Berkali-kali kami tanyakan, adakah atas sebab itu saja?
Dia mengangguk dan berkali-kali kata ‘tidak boleh terima’.
Adakah wajar dia terus menceraikan saya? Semasa dia berada di luar daerah, dia langsung tidak menjawab panggilan telefon.
Adakah kesalahan saya sangat besar? Saya hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, tetapi tanpa berbincang atau bertanya dia sesuka hati menjatuhkan talak atas saya dengan alasan ‘tak boleh terima saya bersalin baju di bilik lain’?
Saya diceraikan tanpa disentuh lagi. Malam pertama kami hanya tidur sebilik, sekatil sahaja. Tiada apa yang berlaku.
Sebenarnya agak pelik jua kisahnya kerana dia diceraikan atas sebab yang sangat remeh. Tetapi hati orang sukar diduga. Sebelum ini, ada juga yang menceraikan isteri kerana punggung menggerutu, seperti yang didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor pada awal tahun ini.
Ada baiknya mengenali hati budi seseorang sebelum membina rumahtangga dengannya. Selebihnya serahkan kepada takdir.
Sumber: Kisah Rumah Tangga – disunting untuk diterbitkan di amazingnara.com